Assalamualaikum wrt wbt..
Oooohhh susahnya untuk aku mencari ayat yang sesuai sebagai muqaddimah. Sungguh! Sukar sekali. Lantas aku memilih kesukaran mencari idea itu sebagai muqaddimah sahaja.. Itu pun setelah puas aku menaip dan delete, taip dan delete, taip dan delete lagi..
Ye, mungkin itulah aku. Kalau menulis laporan yang punya skema dan tatacaranya mungkinlah laju. Tapi untuk menulis sesuatu yang abstrak, ohh lemahnya...
Sudah sekian lama aku menyimpan hajat ini. Mengabadikannya dalam bentuk tulisan, yang boleh dibaca dan direnung semula suatu hari nanti. Ini bukan kisah dongeng mahupun mitos. Tetapi ini kisah realiti yang berpijak pada bumi nyata.
Signifikannya, kami mungkin akan terlupa suatu hari nanti, dan tulisan ini selagi mana masih di"save"kan, pasti kami dapat membacanya semula dan ingat kembali.
*********************
Dalam pemanduan ku memecah kegelapan malam, sendirian, ditambah dengan rasa yang sangat malas dan bosan, aku melayan perasaan sendiri. Aku keluar lewat hari Ahad itu dari rumah emak di kampung. Terasa malas yang teramat sangat untuk pulang bekerja pada hari Isnin keesokannya.
Aku ambil keputusan untuk solat Maghrib dan Isyak jama' takhir sahaja. Memandangkan tempat biasa aku singgah solat masih jauh di depan. Azan maghrib telah berkumandang di IKIM.fm. Diikuti pula slot pengisian rohani yang disampaikan oleh Ustaz Zahazan. To be honest, aku cukup admire dengan cara beliau menyampaikan ilmu. Padat, ringkas dan mudah difahami.
Kebetulan pada hari itu, tafsir ayat al-Quran yang disampaikan berkenaan tentang doa. Panjang lebar penjelasan yang diberikan. Aku yang awalnya rasa malas dan bosan menjadi tekun dan peka pada setiap butir pengisian yang disampaikan.
Aku cukup terkesan ketika itu. Aku yang sememangnya agak cengeng, tak berjaya membendung air mata. Alamak! kabur pandangan ku. Cepat2 ku kesat agar pemanduan ku tetap konsisten dan tidak membahayakan diri serta org lain yang sama2 menggunakan jalan raya itu. Lebih2 lagi malam semakin pekat.
Perkara penting dari tafsir ayat al-Quran yang disampaikan ialah, Allah Maha Mendengar setiap rintihan dan doa hambaNya. Tiada satu pun yang tersembunyi. Tiada satu pun yang terselindung. Tiada satu pun yang tercicir. Mustahil bagi Allah yang sifatnya Maha Sempurna dan Hebat terlupa untuk memperkenankan doa hambaNya. Sama sekali tidak pernah terlepas dari kekuasaanNya.
Lalu, dalam konteks doa, Allah PASTI mendengar dan memperkenankan. Sama ada doa itu serta merta diperkenankan atau ditangguhkan atau ditukarkan dengan sesuatu yang lebih baik. Hanya Dia yang tahu. Kita sebagai hamba hanya mampu memohon.
Mood malas dan bosan bertukar kepada sangat bermotivasi. Ya! aku mesti kuat! - Mood yang bertukar itu menjadikan pemanduanku lebih cermat dan fokus.
Tapi kenapa ye? Kenapa aku sangat terkesan?
*********************
Ketika itu, tentunya aku rasa sangat lapang dan tenang. Mendapat suntikan motivasi percuma, memandangkan dalam hati dan jiwa ku sedang terbendung perasaan yang sangat rindu pada suami yang jauh beribu batu.
Terasa beban rindu yang ditanggung menjadi ringan. Diakhiri dengan rasa tawakkal dan harapan yang sangat membulat (opps! ada ke istilah membulat?). Yakin doa ku pasti tidak pernah sia-sia.
Aku ingin punya suami yang hampir dengan ku.
Aku ingin punya anak penyambung keturunan kami.
Aku ingin punya keluarga yang bahagia.
Aku ingin punya kerjaya yang menjamin masa depan.
Banyaknya keinginan ku? Layakkah aku ya Allah? Tamakkah aku?
Itulah kisah sepanjang pemanduan seorang diri di pertengahan tahun 2007.
*********************
Masa terus berlalu dengan cepat dan pantas sekali. Sekarang, dengan izinNya, aku masih bernyawa di pertengahan tahun 2009 pula. 2 tahun berlalu? Cepatnya!
[ Aku ingin punya suami yang hampir dengan ku ]
Kerana semakin meningkat usia perkahwinan kami, semakin jauh pula kedudukan kami. Dengan hanya perkahwinan jarak jauh dalam negara, jadi luar negara pula.
Lalu aku berdoa moga dipermudahkan segala urusan yang membolehkan aku cepat2 dapat mengikut suami ke luar negara.
[ Aku ingin punya anak penyambung keturunan kami ]
Kerana kandungan sebelum itu ditakdirkan bukan rezeki kami. Sesiapa yang telah berumahtangga pasti sering berdoa akan dikurniakan zuriat.
Lalu aku berdoa moga diperkenan harapan ku itu.
[ Aku ingin punya keluarga yang bahagia ]
Sesiapa pun pasti mengharapkan kebahagiaan. Sanggupkah sentiasa berada dalam kesengsaraan?
Lalu aku berdoa moga kebahagiaan dilimpahkan dalam kehidupan ku.
[ Aku ingin punya kerjaya yang menjamin masa depan ]
Itu cita-cita ku. Moga saja cita-cita itu menjadi jambatan untuk aku lebih kuat dan dekat padaNya. Rugi saja kalau punya kerjaya yang menjamin masa depan di dunia tetapi tercari-cari masa depan di akhirat sana.
Lalu aku berdoa moga apa yang aku kerjakan tidak sia-sia dan mendapat ganjaran di sisiNya.
*********************
Masa berjalan dan terus berjalan. Perasaan rindu yang mendalam, keletihan merasa diri keseorangan, beban tugas yang menimbun, kepenatan demi kepenatan alhamdulillah berjaya juga diharungi hari demi hari.
Meluah rasa pada emak, mudah saja ayat yang emak berikan. "Hari tu berjalan, bergerak sehari, hilang dah rasa beban sehari"
Mulanya aku rasa, oohh simplenya jawapan emak. Tapi bila aku fikirkan semula, betul la tu! Kepenatan yang aku tanggung bukanlah sehebat mana pun, kenapa asyik rasa penat dan penat dan penat. Seolah-olah putus asa. Tidak! tak boleh rasa macam tu. Aku mesti kuat. Kuat!
*********************
Alhamdulillah.. sehari demi sehari yang cuba dilalui dengan rasa kuat itu benar-benar menguatkan aku. "You did what you think"..
Satu persatu doa ku dikabulkan. Sama ada serta merta, ditangguhkan atau digantikan dengan yang lebih baik. Subhanallah.. Maha Suci Engkau ya Allah yang telah melimpahkan segala nikmat kurnia mu kepada ku..
*********************
Doaku mohon dilimpahkan kebahagiaan
alhamdulillah, walau bagaimanapun keadaan ku, ntah mengapa, aku tetap rasa bahagia. Allah telah menjawab doaku.
Doaku mohon agar dekat dengan suami
alhamdulillah, Ogos 2008 ia telah dikabulkan. Aku dapat juga mengikut suami ke Jordan. Aku ditakdirkan lewat dapat mengikut suami, tetapi dengan kelewatan itu, Allah telah mengurniakan kejayaan demi kejayaan dalam kerjaya. Lalu seiring dengan berlepasnya aku ke Jordan, Allah telah meletakkan aku di tempat yang selesa dalam kerjaya ku. Allah telah menjawab doaku.
Doaku mohon dikurniakan zuriat
alhamdulillah, si kecil ini sedang ligat menendang dan berguling di dalam rahim ku. Moga sihat dan selamat sehingga melahirkan. Mudah-mudahan juga membesar menjadi anak yang soleh, sihat, pintar dan sudi mendoakan keampunan buat orang tuanya. Aku ditakdirkan lewat merasai nikmat ini, tetapi dengannya Allah datangkan pula nikmat dapat menunaikan ibadah haji dengan tenang tanpa memikirkan kepada siapa harus aku serahkan penjagaan anak bila ketiadaan ku ketika di tanah suci. Aku juga terlepas dari memikirkan perkara2 yang tidak dapat dilakukan sekiranya didatangi haid. Kerana ketika itu dengan hebatnya perancangan Allah, si kecil ini telah Allah kirimkan buat kami. Allah telah menjawab doaku dan pastinya aku akan terus berdoa.
Doaku untuk punya kerjaya yang menjamin masa depan
alhamdulillah, Allah telah memudahkan semua urusan ku. Allah telah menjawab doaku.
Lalu aku merenung kembali perjalanan hidup ku setakat ini. Apa lagi yang aku harapkan? Kerana sesungguhnya harapan pada Mu ya Allah tidak pernah menjadi pelaburan yang sia-sia. Semuanya mendapat dividen yang sangat menguntungkan!
*********************
Terima kasih ya Allah... Hanya pada Mu selayaknya segala puji dan kesyukuran... Demi sesungguhnya hamba yang banyak melakukan kesilapan ini dengan kerdilnya sering meminta dan terus meminta. Dan Engkau pula tanpa jemu memperkenan dan terus memperkenan.
Jadikan kami hamba yang terus bersyukur ya Allah... Walau apa pun ujian yang mendatang, peliharakan iman kami, peliharakan kesyukuran kami, peliharakan tunduk kami pada Mu... amiiin ya Rabb..
Syukur Alhamdulillah.....
ReplyDelete:)
tulisan yg amat bermakna penuh intipati berguna.. membuat kmi jg beringat bersama.. :)
ReplyDeleteAllahu yubarik 'alaikum..
masuk ke dalam hati... huu T_T
ReplyDeleteto bayt amzar n ain allen: alhamdulillah.. mana yang baik ambillah sebagai perkongsian pengalaman kehidupan, mana yang tak baik tu, sisihkan jauh2.. :)
ReplyDelete